Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Rabu, 25 Februari. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pagi tadi mengadakan Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi bertempat di Dewan Dar-Al Intisar, Kompleks Sukan Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama bagi menyampaikan derma ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah An-Nisa ayat 36 hingga 42 oleh Awang Chik Akbar Hashemy @ Dimas bin Ahmad Hilmi dan terjemahan ayat dibacakan oleh Awang Muhammad Azka Ajyad bin Haji Mayadi, penuntut-penuntut daripada Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Seterusnya bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Awang Haji Mohd. Zaidin bin Haji Mohd. Noor.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar-pelajar Cemerlang yang disumbangkan oleh BIBD.
Pada tahun ini, seramai 12 orang anak-anak yatim yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peringkat 'O', Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) pada tahun 2025 menerima hadiah galakan masing-masing.
Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pelajar-pelajar tersebut ialah Dayang Sharifah Habibah binti Mohammad Shariff; Melvin Tan Liang Kwang; dan Dayang Nurhana Aqilah binti Saiful Bahrin, penerima bagi Pelajar Cemerlang bagi Peringkat 'O'.
Sementara penerima bagi Peperiksaan STPUB terdiri dari Awang Muhammad Norafie bin Muhammad Roslan; Dayang Siti Nurbasyirah binti Huzaimi; dan Awang Muhammad Irfan bin Haji Abd. Rahman.
Penerima bagi Pelajar Cemerlang bagi SPUB pula ialah Dayang Siti Nurnnajihah binti Haji Yahmiruddin Shah; Dayang Nur Nabilah Syauqina binti Sapree; dan Dayang Hamimi Nurfaqihah Zahirah binti Haji Abdul Kifli.
Manakala penerima Pelajar Cemerlang bagi PSR adalah Dayang Maizatul Mazeedah binti Abdul Rahim; Dayang Nursarah Ferhanah binti Zainal; dan Dayang Nur Zahirah Bazilah binti Mahmood.
Majlis kemudian diikuti dengan penyampaian sampul-sampul derma kepada 3,061 orang anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM oleh tetamu kehormat bersama.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,998 orang adalah anak yatim yang berdaftar di Daerah Brunei dan Muara (DBM); 479 orang anak yatim berdaftar di Daerah Tutong; 446 orang anak yatim berdaftar di Daerah Belait; dan 138 orang anak yatim yang berdaftar di Daerah Temburong.
Derma yang dihulurkan merupakan sumbangan melalui gabungan Tabung Anak-anak Yatim JAPEM, Tabung Dana Anak Yatim DBM dan sumbangan daripada BIBD pada tahun ini.
Jumlah sumbangan yang dihulurkan melalui Tabung Anak-anak Yatim JAPEM adalah sebanyak BND306,100.00.
Manakala, Tabung Anak Yatim DBM menyumbangkan sejumlah BND61,220.00 dan sumbangan daripada BIBD berjumlah BND153,050.00.
Urus Setia Tabung Anak-anak Yatim sangat mengalu-alukan sumbangan derma dari orang ramai bagi sama-sama menghulurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah pendaftaran kebangsaan.
Sumbangan derma tersebut bolehlah dihulurkan melalui kaedah berikut: Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, JAPEM, Tingkat 2, Bangunan KKBS semasa waktu pejabat sahaja.
Atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS) Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim yang berlangsung selama sembilan bulan mulai 12 Februari 2026 hingga 12 November 2026 dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100.
Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah BND20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan Imagine hantar kepada 39999.
Atau melalui BIBD online atau memasukkan derma ke nombor akaun 0000-101-004-9034 di bawah nama akaun 'Tabung Anak-Anak Yatim'.
Di samping itu, kaunter-kaunter pendaftaran anak-anak yatim juga turut dibukakan selama dua hari, iaitu 25 Februari 2026 dan 26 Februari 2026 bertempat di Hab Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM di talian +673 2382911/+673 2381903 sambungan 1336/1338 pada waktu pejabat atau menghubungi Talian Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.
Mudah-mudahan dengan adanya sumbangan daripada orang ramai akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan sekali gus untuk mendapat keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat; Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), KHEDN; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS; Pemangku Pegawai DBM; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Tutong dan Temburong; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD; pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu, ketua-ketua kampung, wakil BIBD dan Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Majlis.